
Beaufort didirikan di kawasan yang rendah berdekatan dengan
Sungai Padas. Oleh itu, pekan Beaufort selalu mengalami banjir apabila Sungai
Padas melimpah tebingnya. Pada zaman awal penubuhannya, Kerajaan sentiasa
mengalami kerosakan yang diakibatkan oleh air banjir yang menghanyutkan
bangunan-bangunan kerajaan dan kedai yang dibina. Walaupun demikian usaha tidak
dijalankan untuk memindahkan pekan ke tapak yang lebih selamat. Kerajaan
Syarikat di sebaliknya telah menggalakkan pembinaan bangunan-bangunan yang
tinggi supaya tidak di tenggelami air banjir. Pekan Beaufort berkembang sebelah menyebelah Sungai Padas.
Oleh itu, ia terbahagi kepada dua bahagian yang masing-masing mempunyai Stesyen
Keretapi, rumah-rumah kediaman pegawai-pegawai kerajaan dan bangunan-bangunan
kedai. Bahagian Beaufort barat menguruskan Stesyen keretapi yang menuju ke
Bukau dan Weston manakala bahagian Beaufort timur terletak dikawasan landasan
yang menghubungkan Kota Kinabalu [ Jesselton ] dengan Tenom.
Beaufort juga dijadikan Stesyen pentadbiran Kerajaan
Syarikat Berpiagam Borneo Utara British. Seorang Pegawai Daerah telah
ditugaskan untuk mengurus Pentadbiran Beaufort dan kawasan-kawasan yang
berhampiranya termasuk Kuala Penyu, Membakut, Menumbok dan Klias.
Pertanian menjadi tulang belakang perkembangan Beaufort.
Aktiviti pertanian seperti penanaman sago telah diusahakan oleh
penduduk-penduduk tempatan dan juga pengusaha Eropah. Galakan juga telah diberi
untuk tanaman komersil lain seperti pisang lanut. Percubaan telah dibuat pada
tahun 1898 oleh sebuah Syarikat bernama Ramie Fibre Company untuk menanamnya di
Beaufort tetapi usaha ini gagal. Pada awal abad ke 20, penanaman sago telah di
ketepikan oleh ladang-ladang sago seperti Ladang Woodford telah menumpukan
perhatian kepada getah yang pada masa itu sedang mendatangkan pendapatan yang
amat lumayan kepada para pengusahanya. Kemajuan dalam industri getah pada zaman
itu telah menyumbang kepada perkembangan bandar Beaufort sehingga ia lebih di
kenali sebagai “ Bandar Getah ”. Ini berlaku kerana kebanyakan ladang-ladang
getah telah di buka dipersekitaran kawasan Beaufort dan Stesyen Keretapinya
sibuk menguruskan bahan-bahan yang berkaitan dengan industri getah. Beaufort seperti juga bandar-bandar lain di Sabah, telah
dimusnahkan semasa Perang Dunia Kedua akibat pengeboman yang dilakukan oleh
askar-askar Australia semasa pembebasan Sabah daripada pemerintahan tentera
Jepun. Pemusnahan ini memberi peluang lagi kepada kerajaan penjajah untuk
mendirikan pekan yang baru di kawasan lebih kurang setengah batu daripada tapak
asal yang lebih selamat daripada banjir.
Walaupun demaikian, pembangunan semula
selepas perang masih lagi diadakan di atas tapak yang lama dan sehingga
sekarang, bandar Beaufort masih lagi mempunyai bangunan-bangunan yang di naikan
beberapa meter daripada paras jalanraya. Beaufort merupakan bandar tunggal yang menjalankan urusan
harian secara biasa walaupun ia di landa banjir, hanya rakit atau sampan sahaja
mengambil tempat kenderaan jalanraya yang biasa. Semasa zaman penjajahan, ada
andaian bahawa kriteria terpenting dalam pemilihan Pegawai Daerah bagi Beaufort
ialah kecekapan seseorang pegawai itu untuk berenang. Majlis Daerah Luar Bandar Beaufort telah ditubuhkan pada
tahun 1958 dibawah Ordinan kerajaan Tempatan [ Bahagian 132 ] 1951. Majlis ini
di tubuhkan untuk mengawal hal-hal berkaitan dengan kewangan, penggubalan
undang-undang kecil khas untuk Beaufort sahaja dan kerja-kerja am seperti
pembangunan daerah dan pengawalan kesihatan bandar. Penubuhan Majlis ini telah
menyumbang kepada kecekapan dalam menjalankan pentadbiran daerah Beaufort.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan